Bismillahiirrohmanirrohim...
Assalamu'alaikum warohmatullohi wabarokatuh & salam mesra wasaber sekalian...
Sedar nda sedar Ramadhan sudah hampir tiba kepada penghujung untuk melabuhkan tirainya & Syawal pula akan mengambil alih. Di mana-mana kedengaran lagu raya berkumandang. Di corong-corong radio, di pusat membeli-belah, di pasar Ramadhan, mahupun di rumah kita sendiri. Dengan itu secara automatiknya, mood untuk berhari raya pun tersuntik.
Jadi kamurang? Sudah beli baju baru untuk Syawal tahun ini? Apa warna tema kamurang? Berapa pasang? Berapa RM? Oppps, berbaju baru semasa Hari Raya itu sunnah Nabi, tapi jangan sampai melebih-lebih pula. Jangan sampai membazir.
Mungkin kadang-kadang kita nda perasan yang kita sudah membuat beberapa kesilapan untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. Oleh itu, hari ini pihak WSB ingin mengambil sedikit ruang untuk berkongsi tips berguna semasa berbelanja untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Pada yang belum membuat sebarang persiapan, bolehlah rujuk tips berguna ini. Manakala pada yang sudah ter-over berbelanja tu, fikir-fikirkanlah sendiri untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama pada tahun-tahun yang seterusnya. Ya...
Tips ringkas & mudah ini dipetik dari kata-kata salah seorang pakar kewangan bertauliah di Malaysia & dikagumi ramai, Tuan Shamsuddin Kadir (gambar).
|
Ehsan dari akaun facebook beliau |
*****
TIPS 1:
Bismillah. Perbelanjaan yang meningkatkan tahap stres kepada tetamu yang datang ke rumah kita :
1. Langsir baru
2. Sofa baru
3. Meja makan baru
4. Bekas isi kuih baru
5. Pakaian tuan rumah yang terlebih cantik (Iaitu pakaian yang ada labuci)
6. Kereta baru
7. Telivesyen baru
Tetamu tertekan, kerana merasa rendah diri di atas kekurangan yang ada pada diri mereka, kerana tidak mampu menyediakan perkara yang sama di rumah mereka. Tetamu merasa tertekan dan segan untuk menjemput tuan rumah yang mereka kunjungi itu supaya datang ke rumah mereka juga selepas ini.
Apabila pakaian kita lebih dari sekadar pakaian baru, individu yang bertemu dengan kita merasakan rendah diri, kerana baju kita terutama pakaian wanita yang sebahagiannya sarat dengan labuci, labu air dan labu sayung yang membuatkan orang lain rasa rendah diri dan sebolehnya tidak mahu bercakap lama dengan kita.
Perhiasaan seperti emas juga mencederakan emosi tetamu dan invididu yang perlu berjumpa dengan kita, yang tidak mempunyai rantai emas sebesar dan seberat yang kita pakai. Bagi membuatkan orang lain suka berbicara dan mendampingi kita, elakkan memakai perhiasan emas dan 'brooch' yang terlebih-lebih. Cukup sekadar sebentuk cincin, seutas tali leher dan gelang tangan.
Untuk membuatkan kita tidak dicemburui ataupun membuatkan orang lain tidak cedera emosi, persembahkan diri kita dengan hiasan dan pakaian yang kurang berbanding apa yang orang lain pakai.
Insyaa Allah tip ini bukan sahaja membantu orang lain suka sangat berbicara dengan kita, dan yang lebih penting juga duit kita selamat dari perbelanjaan yang membuatkan kita semakin lama semakin miskin.
TIPS 2:
Saya tertarik dengan sebuah drama di TV3, pada hari sabtu ataupun ahad yang lalu, di mana pengaruh baju raya, langsir raya, rantai emas raya sehingga sanggup mengorbankan nyawa seorang individu yang bernama ayah. Kisah ini sebenarnya adalah realiti yang masih berlaku, walaupun sudah berkurangan. Disunatkan memakai baju baru pada hari raya, dan bukannya baju raya. Terdapat perbezaan antara baju baru dan baju raya. Baju baru sekadar baju baru, yang kita biasa beli pada bulan-bulan lain. Baju raya adalah baju yang luar biasa dengan tujuan, supaya orang kagum dengan kecantikan baju yang dipakai oleh si pemakainya.
Beli baju baru, apabila kita ada duit, jika tiada tidak mengapa, pakai baju lama, ustaz memberitahu sah solat Aidilfitri kita.
Saya tertarik berkongsi kisah satu pasangan keluarga yang membeli sepasang baju baru untuk raya bagi setiap anaknya- Sebaik sahaja hari raya pertama berakhir, ibubapa itu membasuh baju anak-anaknya itu dan di simpan dalam almari dan baju sama digunakan semula untuk 2 kali raya lagi. Ini bermakna sepasang baju yang sama digunakan untuk 3 tahun. Sekarang ibubapa itu memiliki 7 geran tanah, dan mempunyai 6 orang anak. Setiap anaknya diberikan satu geran tanah. Semuanya hasil dari berjimat sewaktu susah.
Mohon izin untuk ceritakan kisah peribadi sedikit: Ada anak saya, yang pakai kasut yang lama untuk hari raya tahun ini, kerana kasut itu masih elok. Hanya pakaian baru dibeli bagi mendapat pahala sunnah. Saya bercita-cita untuk tidak membeli baju baru untuk diri sendiri pada tahun ini seperti mana yang saya lakukan hampir pada setiap tahun sebelum ini bagi menyatakan sokongan kepada yang tidak mampu membelinya.
Hanya baju solat aidilfitri sahaja yang baru, itupun ianya dihadiahkan oleh Tuan Nizar.
Mohon ampun di atas perkongsian hal peribadi di sini. Ianya sekadar menyokong kepada individu yang tidak mampu menyediakan baju baru ketika raya tahun ini.
*****
Semoga kita sama-sama mendapat kebaikannya. Jangan asyik sibuk membuat persiapan Hari Raya, sampai lupa mencari lailatulqadar. Bersederhana adalah jalan paling selamat. Jangan sampai mencederakan emosi orang lain, kerana kelak emosi kita juga akan dicederakan orang lain. Allah lebih tahu..:)
Nota: di penghujung-penghujung Ramadhan ini, pihak WSB ingin memohon kemaafan atas segala salah & silap yang dilakukan dalam keadaan sedar mahupun tidak. Maafkan kami....
Semoga yang baik-baik saja untuk kita semua ;)